Thursday, March 5, 2009

Kehilangan Mentor dan Kawan

Semalam, seorang kawan menalifon saya kerana telah lama tidak bertukar-tukar idea. Mr Henry, yang mempunyai toko di KLCC. Dalam bercakap-cakap, beliau sebutkan tentang seorang kawan yang telah pergi, yang tak akan kembali lagi - Dato' Dr Hj. Kassim Ali. Walaupun saya tidak berniat untuk menulis butiran selayaknya satu requim, seperti orang lain dapat menyebutkan sosok kawan lamanya dengan lengkap, tapi cukup sekedar kesan dari seorang kawan, mentor dan guru yang disegani.

Dato' Dr Hj Kassim, adalah pesara dari Jabatan Muzium Malaysia, yang mula-mula saya kenal lewat buku-buku beliau yang naratif sifatnya. Tentang alat hiasan dan barang kemas Melayu (Malay jewellery), tentang topeng Sarawak dan yang tak pernah saya lupakan ialah rahsia caping (modesty shield) bagi seorang kanak-kanak perempuan. Yang menariknya beliau menulis dalam bahasa Inggeris.
Apa jua yang beliau nampak dalam koleksi muzium, dapat dituliskan dan dijabarkan dengan baik. Selepas beberapa tahun saya berkecimpung dalam dunia permuziuman, akhirnya saya dapat berjumpa beberapa kali dengan beliau dalam majlis yang berlainan. Majlis perasmian, seminar dan akhir-akhir ini saya dapat duduk semeja dengan beliau untuk bermesyuarat sebagai ahli lembaga di salah sebuah muzium di negara ini.
Bagi saya, beliau seorang yang terbuka, memiliki sense of humor yang tinggi dan yang tak boleh saya lupakan ialah galakan beliau berdasarkan pengalaman - bagaimana untuk menulis. Salah satu daripada cara untuk beliau terus berfikir dan menulis ialah, beliau menyediakan pensil dalam tandas dan buku tulis atau kertas (saya tak dapat pastikan kerana tak pernah masuk ke tandas beliau). Tatkala mendapat panggilan "the mother of nature" maka beliau akan berada dalam tandas sekira-kira 15 minit, pendeknya hingga urusan selesai. Dalam masa 15 minit inilah, masa itu sangat berharga. Selalunya pelbagai idea datang dan ia akan berlalu pergi kalau tidak di tuliskan. "Kenapa pensil saja? Tak pakai pen ke?" saya bertanya. Rupa-rupanya pertanyaan saya ialah pertanyaan dia juga kepada almarhum TS Mubin Shepard dulu. Sebab kalau pakai pen, bila kamar mandi yang sentiasa lembab boleh menyebabkan tulisan hilang dan tak boleh dibaca.
Justeru itu, hampir apa saja tentang seni dan budaya Melayu, beliau tuliskan sebagai satu kenang-kenangan kepada saya dan satu pengetahuan yang tak ternilai harganya.
Dalam satu kesempatan, saya sempat bertanya kepada beliau yang beliau selalunya begitu ghairah untuk berbicara dan energetik, tetapi selepas beliau pulang dari menunaikan haji tahun lepas, beliau kelihatan tidak bertenaga.
"Memang aku dah tak berapa kuat macam dulu, sejak aku accident tahun lepas..." katanya. Saya tak pasti, tahun berapa beliau kemalangan jalan raya.
Itulah adat kehidupan, muda akan menjadi tua, sehat akan uzur dan akhirul kalam kepada kehidupan ini ialah semua yang hidup akan meninggalkan alam fana ini jua. Kepada arwah Dato' Dr Haji Kasim Ali, al Fatihah, semoga rohmu ditempatkan ditempat yang selayaknya. Amin.