Thursday, August 13, 2009

MRSM Alor Gajah ditutup sementara

Petang Isnin awal minggu ini, saya mendapat panggilan telefon dari anak kami di MRSM, minta datang ke sekolah dan membawa beliau pulang kerana demam. Jam 9.30 malam baru sampai di sana dan masih ramai ibu bapa menunggu anak-anak dan ada yang bersolat dalam musalla maktab. Saya juga masuk dan alangkah teruknya apabila pelajar dalam satu asrama menghidap sakit yang sama; demam panas, batuk dan selsema. Menurut anak kami, 85% pelajar demam dalam minggu ini, menyebabkan kelas-kelas kosong dan sick bay penuh, musalla tempat solat, juga penuh dengan pelajar yang terbaring, demam.

Langkah maktab menutup sementara sekolah adalah wajar, apapun target dalam peperiksaan yang bakal ditempuh oleh pelajar. Adakalanya, harus diketepikan untuk sementara berkenaan prestasi akademik sekolah sekiranya pelajar tidak lagi sihat, tidak lagi selamat. Di UM, kami menawarkan 3 aspek utama iaitu keselamatan, kesihatan dan pengalaman pembelajaran yang baru. Justeru itu, kalau prestasi melangit sekalipun, namun pelajar sering saja diragut, pelajar menghadapi wabak yang tak tertanggung, maka proses itu akan cacat, tiada aspek kemanusiaan dititik beratkan.

Semoga wabak selsema babi hilang, dan segala rahmat Allah menyelubungi semula negara kita yang tercinta ini.